ADVERTISEMENT
Raja segala buah, Durian merupakan antara buah kegemaran rakyat Malaysia. Rasa manis dan lemaknya menjadi pilihan semua. Setiap tahun bila musim durian seperti sekarang, masyarakat kita pasti tercari-cari untuk menikmati buah tersebut. Namun tidak kurang juga ada mereka yang tidak bertanggungjawab bertindak mencuri buah durian di dusun orang, sebagai mana terjadi di Kampung Berchat, Lubuk Gajah Changkat Jering, Taiping.
Apa yang menarik perhatian adalah tindakan orang kampung terhadap pencuri durian terbabit. Memetik laporan Harian Metro, tindakan dua lelaki terbabit mencuri buah durian mengundang padah apabila mereka dicekup oleh penduduk kampung dan pemilik dusun. Sebagai pengajaran penduduk kampung bertindak menyumbat mulut kedua lelaki terbabit dengan kulit durian sebelum menyerahkannya kepada pihak polis.
Menceritakan kembali kejadian tersebut, pemilik kebun berusia 69 tahun mengatakan dia bersama dua rakannya ke kebun terbabit pada pukul 3 pagi untuk mengutip buah, sebaik tiba mereka ternampak kenderaan Toyota Hilux serta kelibat dua lelaki berkenaan sedang mencuri durian.
Menurut Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata
"Hasil siasatan, polis mendapati kedua-dua suspek berusia 28 dan 30 tahun mengambil kesempatan memasuki kebun penduduk pada sebelah seawal pagi dan mengutip durian yang luruh.
"Pemeriksaan pada but kenderaan, menemui raga yang mengandungi 30 durian berharga kira-kira RM500, dipercayai dicuri dari kebun pemilik," katanya
Menurutnya, tangkapan bersama barangan kes dibawa ke Balai Polis Changkat Jering dan suspek direman selama tiga hari sehingga 16 Jun ini.
"Polis juga menjalankan siasatan sama ada suspek mempunyai hubung kait dengan beberapa kes kecurian lain yang dilapor berlaku di sekitar Taiping.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut masih diteruskan," katanya.